KENYATAAN MEDIA
Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
PERUTUSAN HARI IBU
2006 10 Mei 2006
Dr.Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita Pusat
Bantulah Ibu Melaksanakan Tugas dan Tanggungjawab Mendidik Anak-anak Zaman Ini
Setiap tahun semasa Hari Ibu disambut di seluruh dunia, jasa dan pengorbanan insan mulia bergelar ibu dinobatkan sebagai pencetus dan sumber inspirasi kejayaan serta kecemerlangan anak-anak. Dalam masa yang sama, para ibu sering diperingatkan dan disarankan supaya mempertingkatkan kemahiran, keprihatinan dan kesungguhan mereka dalam mendidik anak-anak yang bakal menjadi pemimpin generasi akan datang. Tidak kurang juga yang menyalahkan kaum ibu di atas apa yang dilihat sebagai `kegagalan’ memainkan peranan berkesan yang mengakibatkan akhlak dan tatacara kehidupan anak-anak remaja hari ni rosak dan pincang. Pembabitan kaum ibu dalam kerjaya di luar rumah dikatakan punca utama kurangnya tumpuan kepada penjagaan anak-anak dan rumahtangga.
Wanita JIM amat menyedari bahawa cabaran yang dihadapi oleh para ibu di zaman alaf baru ini sebenarnya amat mencabar sekali. Para ibu berhadapan dengan satu generasi anak-anak muda yang begitu terdedah kepada pelbagai suasana yang tidak dialami oleh generasi terdahulu. Menurut Dr. Gary Chapman, penulis buku `Five Love Languages for Teenagers’, remaja hari ini terdedah kepada lima situasi yang begitu mencabar yang tidak pernah dihadapi oleh generasi ibu dan bapa mereka iaitu :
• Kecanggihan teknologi
• Kadar keganasan yang tinggi
• Tabiat seksual kurang sihat
• Pegangan agama dan nilai yang semakin terhakis
• Institusi keluarga yang kucar kacir
Menurut beliau juga, terdapat beberapa keperluan yang sama bagi remaja hari ini dibandingkan dengan remaja di zaman dahulu, seperti keperluan untuk dikasihi, diiktiraf, didengari dan dibimbing dengan nilai dan pedoman hidup. Di samping itu, keadaan persekitaran juga memainkan peranan yang kritikal dalam membentuk keperibadian, citarasa dan pemikiran anak-anak. Keadaan ini mendesak perlunya kaum ibu menyusun perancangan untuk meningkatkan kemahiran dan kepekaan terhadap perkembangan semasa yang mempengaruhi kehidupan anak-anak mereka. Pepatah Arab yang mengatakan `Ibu adalah madrasah pertama anak-anak’ memberikan penekanan perihal pentingnya peranan ibu yang akan memperkenalkan dunia ini kepada anak-anaknya.
Dalam masa yang sama, Wanita JIM ingin menarik perhatian kepada satu aspek yang tidak sering diketengahkan dalam konteks peranan dan fungsi ibu. Melihat kepada betapa besarnya cabaran yang terpaksa dipikul, para ibu amat memerlukan sokongan, bantuan dan simpati dari semua pihak, terutamanya dari kaum lelaki yang berperanan sebagai suami dan bapa kepada anak-anaknya. Untuk memastikan para ibu dapat menjalankan peranannya dengan sempurna, mereka mestilah mendapat saraan hidup dan pembelaan secukupnya dari suami yang penyayang, amanah dan bertanggungjawab. Pendekata, para ibu tidak seharusnya dibebankan dengan permasalahan saraan dan keperluan mencari sesuap nasi, yang begitu jelas diperincikan oleh agama Islam, yang mana ianya diletakkan di atas bahu para suami dan bapa (rujuk Surah An-Nisa’, ayat 34). Sekiranya para ibu memilih untuk menjawat kerjaya di luar rumah, mereka tidak sepatutnya mengambil alih tanggungjawab menyara dan memenuhi keperluan ahli keluarga semata-mata kerana gajinya lebih lumayan dari pihak suami. Persetujuan rela pihak ibu berkerjaya untuk turut menyumbang dalam ekonomi keluarga adalah suatu pertimbangan yang wajar demi keharmonian keluarga. Namun ianya tidak boleh dipandang remeh ( taken for granted) atau sambil lewa oleh pihak suami khususnya, sehingga mencetuskan konflik yang rumit dan berpanjangan. Apabila tanggungjawab tidak dilaksanakan dengan sempurna, pastinya berlaku kepincangan yang ketara dalam kepimpinan rumahtangga yang sering berakhir dengan keruntuhan institusi kekeluargaan. Wanita JIM menyelar tindakan zalim segolongan suami dan bapa yang tergamak mengabaikan tanggungjawab asas menyediakan keperluan untuk para ibu. Maka ibu terpaksa menjadi bapa dan juga ibu kepada anak-anak mereka.
Dalam usaha pembelaan para ibu tunggal - sama ada yang kematian suami ataupun yang telah diceraikan, Wanita JIM menuntut agar kaum keluarga terdekat terutamanya para bapa dan saudara kandung lelaki wanita itu sendiri untuk mengambil sepenuh tanggungjawab membantu kehidupan wanita malang ini. Bukannya dibiarkan begitu sahaja, sekadar bersimpati tanpa sebarang sokongan dari aspek material mahupun berusaha memenuhi keperluan emosi anak-anak yang terpaksa hidup tanpa kehadiran bapa. Lelaki yang menceraikan isterinya mestilah diperingatkan dengan tegas agar mematuhi peraturan asas dan tatacara perundangan mengenai perceraian yang mewajibkan suami memberikan nafkah sepanjang dalam iddah, tidak menghalau keluar ibu tersebut dari rumah kediamannya dan pemberian hadhanah untuk saraan anak-anak.
Wanita JIM juga merayu agar masyarakat umum secara serius membantu kaum ibu dalam usaha menerapkan disiplin dan gaya hidup sihat kepada anak-anak mereka. Kawalan sosial yang satu ketika dahulu menjadi benteng kepada anak-anak, hari ini semakin pudar dan tidak berfungsi dengan berkesan. Media massa juga didapati kurang menyokong usaha murni para ibu menyemai nilai dan budaya murni serta kehidupan berpandukan agama kepada anak-anak mereka. Gaya hidup yang bercirikan `hedonisme’ menjadi trend kehidupan yang ditonjolkan.
Wanita JIM juga merayu agar pihak berwajib dapat memberikan keadilan sewajarnya kepada kelompok tahanan ISA yang sudah begitu lama terpisah dari keluarga mereka. Penderitaan dan keperitan hidup kaum isteri tahanan ISA serta anak-anak mereka tidak dapat digambarkan.
Sempena Hari Ibu 2006 ini, Wanita JIM menegaskan sekali lagi betapa para ibu amat perlu diberikan sokongan dan bantuan dari semua pihak agar dapat memainkan peranan keibuannya dengan sempurna.
Di ambil dari laman web : www.jim.org.my
ahfadzi- Raikan hari ibu & hari nenek sekaligus. Terima kasih Ummi & Opah.
No comments:
Post a Comment