Monday, May 29, 2006

kemalangan waris

Kematian yang melibatkan saudara sebelah ummi tersiar di akhbar & berita di tv.
Kata babah, dia baru sahaja ziarah keluarga allahyarham semasa mereka pulang dari mekah. Tak berapa kenal tapi yang pasti ada bau-bau bacang.

Zainab hilang 6 tersayang sekelip mata

KOTA BHARU 28 Mei - Sembilan tahun lalu, Zainab Abdul Rahman, 60 kehilangan suaminya, Mohd. Zain Puteh yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pengkalan Chepa.
Semalam, tragedi hitam itu berulang kembali tetapi dalam keadaan lebih menyayatkan hati apabila ibu tunggal tersebut bukan sahaja kehilangan tiga anaknya serentak tetapi juga menantu dan dua cucunya setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 194.1 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Hentian Rehat Gambang di sini.
Ketiga-tiga anak Zainab itu ialah suri rumah, Zuraidah Mohd.Zain, 44; juruteknik komputer di sebuah kilang di Hulu Klang, Zulkarnain, 29; dan pelajar perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak, Mohd. Zamak Shaari, 25.
Mereka terbunuh bersama tiga lagi mangsa iaitu isteri Zulkarnain yang bertugas sebagai kerani akaun, Suyhala @ Suhaila Abdul Razak, 28, yang mengandung enam bulan dan anak tunggal mereka Mohd. Zakuan Irfan, 3 serta anak bongsu Zuraidah, Wan Zulhelmi Wan Zahari, 5.
Bapa saudara mangsa, Zahari Mahmud, 50, berkata, dia mengetahui kemalangan itu kira-kira pukul 6 petang semalam setelah dimaklumkan oleh anggota polis yang datang ke rumahnya berpandukan cebisan kad pengenalan yang hanya mencatatkan nama `Mohd. Zain', lot rumah `No. 2090' dan poskod `16100.'
``Saya tidak sampai hati untuk menceritakan kejadian ini kepada Zainab kerana dia menghidap darah tinggi dan hanya memaklumkan kepadanya kira-kira pukul 2 pagi ini dan hingga kini sudah lebih tiga kali dia pengsan,'' katanya ketika ditemui di rumah Zainab di Kampung Batu Empat Suku, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Zahari berkata, hati siapa yang tidak pilu kerana Zainab baru sahaja berjumpa dengan ketiga-tiga anaknya, menantu dan dua cucu ketika mereka melawat seorang saudara yang dirawat di Pusat Perubatan Kuantan (KMC), kelmarin.
``Zulkarnain dan Mohd. Zamak Shaari berkelakuan agak pelik apabila sanggup melayan saya yang turut berada di KMC berbual sehingga Subuh manakala Suyhala @ Suhaila yang sebelum ini agak peramah lebih suka mendiamkan diri,'' ujarnya.
Jenazah Zulkarnain, Suyhala @ Suhaila, Mohd. Zakuan Irfan dan Mohd. Zamak Shaari dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kem Pengkalan Chepa di sini manakala Zuraidah dan Wan Zulhelmi di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Andalas, Klang.

diambil dari: sini

No comments: