KENYATAAN AKHBAR
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Perutusan Hari Bapa
14 Jun 2006
BAPA PRIHATIN TONGGAK MASYARAKAT BERKUALITI
Sesebuah institusi keluarga adalah merupakan unit-unit asas yang penting di dalam pembinaan struktur sesebuah masyarakat yang mantap.Institusi keluarga ini pula dikemudi oleh dua insan yang amat penting iaitu “Ibu” dan “Bapa”. Jika terdapat kecacatan pada salah seorang dari mereka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka maka akan cacat dan terencatlah kelancaran bahtera institusi keluarga ini. Ibu dan bapa adalah amat penting dalam pembangunan sesebuah keluarga; hubungan antara keduanya dan juga dengan anak-anak mestilah erat dan rapat.
Banyak kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa gejala sosial yang berlaku adalah berpunca dari kerosakan dan keruntuhan institusi keluarga akibat hubungan yang retak di antara ahli keluarga. Gejala sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, pengambilan minuman keras, seks bebas, dan pelbagai kegiatan jenayah yang melibatkan remaja yang semakin meningkat dan membimbangkan adalah berpunca dari lemahnya institusi keluarga dan kegagalan ibu-bapa dalam mendidik dan menyediakan model ikutan kepada anak-anak. Fenomena ini amatlah menggerunkan dan perlu ditangani segera disemua peringkat.
Sempena sambutan Hari Bapa pada tahun ini Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) mengajak rakyat Malaysia, terutama sekali para bapa untuk merenung kembali PERANAN mereka sebagai bapa dalam mengemudi institusi keluarga ke arah melahirkan generasi yang berkualiti demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Bapa boleh diumpamakan sebagai seorang “CEO” dalam sebuah syarikat. Sebagaimana seorang CEO beliau mestilah mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dan dapat melaksanakan tugas dengan berkesan samada melibatkan kemaslahatan kakitangan, soal kewangan dan urusan perniagaan yang ditangani oleh syarikat. Sebagaimana seorang CEO juga yang sentiasa berusaha menggerakkan inisiatif baru bagi memastikan syarikat terus progresif, seorang bapa harus memikirkan langkah-langkah untuk menyediakan keluarga yang mampu untuk berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dalam era globalisasi yang menghakis nilai-nilai murni kehidupan pada hari ini. Kesimpulannya seorang bapa perlu melengkapkan dirinya dengan pelbagai persiapan, ilmu dan kemahiran jika ia ingin melaksanakan tugas beliau dengan jaya dan berkesan.
Keluarga atau rumahtangga merupakan unit asas di dalam sesebuah negara. Jika negara diibaratkan seperti sebuah rumah, maka rumahtangga adalah asas binaan rumah tersebut. Dalam membangun sebuah negara yang maju dan progresif , asas binaan inilah yang perlu diperkukuhkan terlebih dahulu. Jika asasnya kukuh, akan teguhlah negara yang akan dibangunkan nanti. Jika sebaliknya, negara tersebut tidak akan bertahan lama dan hanya menantikan saat runtuhnya sahaja.
Menyedari akan betapa pentingnya peranan yang perlu dimainkan oleh para bapa dalam pembentukan institusi keluarga, JIM juga menggesa kepada pihak berwajib untuk memberi keadilan kepada para bapa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah begitu lama ditahan tanpa bicara. Mereka ini telah terpisah dari keluarga mereka untuk sekian lama dan dinafikan dari menyempurnakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa terhadap keluarga mereka. Isteri dan anak-anak yang telah terpisah sekian lama tanpa kasih sayang seorang bapa sebagai ketua yang mengemudi institusi keluarga mereka sudah tentunya mengundang kepincangan kepada institusi keluarga tahanan ISA ini dan sekali gus kepada masyarakat Malaysia secara umumnya.
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) ingin menyeru kepada semua para bapa di Malaysia agar :-
a) Berusaha bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan institusi keluarga.
Institusi keluarga yang mantap dan kukuh memerlukan seorang bapa yang mampu memimpin dengan adil dan saksama. Para bapa hendaklah menerajui dan memainkan peranan aktif dalam memakmurkan rumahtangga dan keluarga mereka. Mereka hendaklah dengan penuh rasa tanggungjawab memimpin keluarga berlandaskan aqidah yang mantap dengan berpandukan kepada Al Quran dan As Sunnah.
b) Menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab dan memenuhi hak-hak ahli keluarganya,
Sebagai ketua keluarga, seorang bapa bertanggungjawab untuk menyediakan pendidikan yang mencukupi kepada ahli keluarganya yang terdiri dari isteri dan anak-anak. Ini adalah kerana anak-anak bakal mewarisi dan mengambil tempat ibu bapa pada hari ini. Pendidikan amat penting kerana melaluinyalah nilai-nilai masyarakat seperti akhlak dan pegangan hidup dapat diperturunkan kepada anak-anak yang merupakan pewaris generasi akan datang. Pendidikan juga dapat mengatur anggota masyarakat agar hidup berdasarkan kasih-sayang, hormat-menghormati dan mempunyai sifat kepedulian yang tinggi, yang akan mewujudkan sebuah negara yang aman makmur.
Surah An Nisaa’, ayat 9 bermaksud :
“Dan hendaklah takut kepada ALlah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap kesejahteraan mereka….”
mengingatkan ibu bapa agar tidak meninggalkan anak-anak yang lemah sebagai generasi pelapis. Seorang bapa haruslah mendidik anak-anak agar mereka mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menjalani kehidupan di zaman mereka kelak.
c) Menjadi individu yang penyayang dan pelindung kepada setiap ahli keluarganya.
Adalah menjadi tanggungjawab asasi bagi seorang bapa mewujudkan suasana yang aman dan persekitaran tempat tinggal yang selamat dan bebas dari segala bentuk gangguan yang boleh mengancam keluarga samada dari sudut fizikal, mental dan emosi.
Sabda Rasulullah s.a.w. mafhumnya :
“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mukmin yang paling baik akhlaknya dan mukmin yang paling lemah lembut terhadap isterinya” (Hadith riwayat Tarmidhi)
d) Menjadi contoh yang terbaik (“role model”) dalam mendidik anak-anak untuk menghayati prinsip hidup yang baik.
Seorang bapa hendaklah mempunyai jati diri yang kuat dan berupaya menjadi contoh (“role model”), kebanggaan dan ikutan ahli keluarga. Contoh yang ditunjukkan hendaklah berupaya menerapkan sahsiah diri positif di kalangan ahli keluarga bagi menghayati prinsip-prinsip hidup yang baik untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
e) Menyuburkan suasana musyawarah dan semangat kerja berpasukan di kalangan ahli keluarga.
Para bapa hendaklah bertindak sebagai pemudahcara dan memberi ruang kepada setiap ahli keluarga untuk bersuara dan memberikan pendapat dalam membuat sesuatu keputusan bersama dalam urusan rumahtangga. Seorang bapa seharusnya menunjukkan sikap keterbukaan dan kesediaan untuk mendengar pandangan setiap ahli keluarganya, termasuk anak-anak dengan penuh kasih sayang dan tidak bersifat otokratik. Sifat mengambil berat antara satu sama lain akan dapat mengikat hati dan perasaan anak-anak khususnya remaja di dalam melahirkan semangat pasukan yang tinggi di dalam institusi keluarga. Ini akan seterusnya menyemarakkan rasa cinta dan perihatin di kalangan ahli keluarga.
JIM berharap agar para bapa akan menghayati, menyambut dan melaksanakan seruan di atas demi untuk masa depan keluarga, masyarakat dan negara .
ZAIRULSHAHFUDDIN ZAINAL ABIDIN
Ahli Jawatankuasa JIM Pusat
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga & Kebajikan
⨪
No comments:
Post a Comment