Monday, August 30, 2010

Ramadhan Bulan Jalur Lebar

Dalam era informasi, komunikasi dan teknologi, Ramadhan boleh kita umpamakan sebagai bulan "Broadband" atau Jalur Lebar di mana kita berpeluang untuk :
  1. "Download"atau memuat turun sebanyak-banyaknya rahmat dan keampunan dari Allah swt.
  2. "Upload" atau memuat naik segala amal-amal soleh yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan tersebut.

Di dalam bulan Ramadhan terdapat berbagai kebaikan. Perkara ini terbukti dengan begitu ramainya kehadiran umat Islam di segenap masjid dan surau.

Alhamdulillah, inilah yang membuatkan kita sepanjang tahun merindukan kehadirannya. Kita akan menyaksikan sebuah transformasi penampilan umat Islam yang begitu bermakna.

Kita juga melihat bahwa umat Islam tiba-tiba menjadi :

1. Gemar membaca Al-Qur'an.

2. Gemar memperbanyakkan amal soleh dan amal ibadah.

3. Gemar bersedekah.

4. Gemar solat Tarawikh.

5. Gemar memerhatikan nasib kaum fakir miskin serta anak yatim.

6. Kaum muslimat pula lebih gemar menghiasi dirinya dengan tudung dan pakaian menutup aurat.

Di sisi yang lain pula, keghairahan untuk berbuat perkara keji dan maksiat mengalami penurunan yang drastik. Walaupun tidak dapat dinafikan masih ada di sana sini pihak-pihak yang tetap melakukannya padahal Nabi saw telah bersabda bahwa "syaitan-syaitan dibelenggu, maksudnya jin."

Oleh kerana itu Imam Al-Qurthubi rahimahullah mengatakan:

Kemaksiatan itu berlaku disebabkan oleh sejumlah faktor selain dari syaitan :

1. Jiwa manusia yang buruk.

2. Kebiasaan yang tidak baik.

3. Syaitan dari jenis manusia.

Kalau kita pergi ke negara-negara yang penduduk muslimnya minoriti seperti Amerika, Eropah atau Australia, maka kita akan melihat pemandangan yang jauh lebih menyentuh hati. Di tempat-tampat seperti itu umat Islam tampil penuh dengan ruh persaudaraan dan kasih sayang terutama bila menyambut dan menyediakan acara "ifthar jama'ie" atau majlis berbuka bersama di masjid atau Pusat Islam.

Perlaksanaan majlis berbuka di pelbagai Pusat Islam di negara-negara tersebut menjadi sangat menarik kerana biasanya mereka terdiri dari komuniti muslim antarabangsa yang melibatkan kaum muslimin beraneka keturunan dan bangsa. Kemudian anggota masyarakat masing-masing menyumbangkan makanan khas Negara masing-masing.

Subhanallah..! Suatu pemandangan yang sungguh menyentuh hati. Berhimpunlah mereka iaitu muslim yang beraneka warna kulit, bangsa dan bahasa duduk dalam suatu majlis dengan hidangan yang berlatar belakangkan aneka selera antarabangsa.

Semua duduk bersama diikat oleh rasa cinta dan persaudaraan yang dikenali dengan "Al-Ukhuwwah Al-Islamiyyah" iaitu persaudaraan Islam. Duduk bersama di rumah Allah ta'ala yang merupakan Tuhan kepada orang kulit putih mahupun kulit hitam, Tuhan orang Arab mahupun bukan Arab. Semuanya berhimpun semata-mata untuk mengharapkan rahmat dan ridha Allah ta'ala, Tuhan Yang Maha Esa.

Kemudian biasanya kegiatan berbuka puasa di Pusat Islam seperti di atas dijadikan kegiatan "open house" atau rumah terbuka. Maknanya acara tersebut mengundang dan membuka diri bagi kehadiran masyarakat setempat sekalipun mereka bukan muslim. Perkara ini diharapkan dapat menjadi wasilah mengajak mereka mengenali bahkan tertarik dengan ajaran Islam yang penuh dengan nilai-nilai persaudaraan dan cinta yang hakiki.

Hasil penyelidikan membuktikan bahwa seringkali hidayah Allah ta'ala tercurah pada ketika itu sehingga tidak pelik apabila setiap undangan terbuka acara berbuka puasa seperti di atas menyebabkan ada sahaja orang Amerika, Eropah atau Australia yang kemudiannya tersentuh hati lalu masuk Islam kerana memang hanya ajaran Islamlah yang benar-benar sanggup menghimpun dan menyatukan umat manusia dari aneka latar belakang, warna kulit, bahasa, suku, keturunan dan bangsa. Maha Benar Allah ta'ala ketika berfirman:

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (QS Al-Hujuraat : 13)

Maknanya, umat Islam di negara-negara seperti Amerika, Eropah dan Australia sangat kreatif sehingga sanggup memanfaatkan bulan Ramadhan sebagai wasilah berdakwah mengajak kalangan bukan muslim masuk ke dalam rahmat Allah ta'ala, yakni Al-Islam.

Persoalannya :

"Tidakkah kita yang mempunyai penduduk majoriti muslim di negara ini semestinya lebih sanggup lagi untuk merebut hati warga bukan muslim di negara ini melalui pemanfaatan bulan Ramadhan?"

Jawapannya : Semestinya boleh....

Selain itu Ramadhan juga merupakan bulan yang bertaburan dengan rahmat Allah ta'ala. Inilah bulan di mana musuh Allah ta'ala dan musuh orang-orang beriman (yakni syaitan) dibelenggu, pintu-pintu neraka tertutup dan tidak satupun dibiarkan terbuka sedangkan pintu-pintu syurga dibuka dan tidak satupun yang tertutup.

Rasulullah saw bersabda: "Bila tiba malam pertama bulan Ramadhan para syaitan dibelenggu, maksudnya jin. Dan pintu-pintu neraka ditutup dan tidak satupun yang dibuka dan pintu-pintu syurga dibuka dan tidak satupun yang ditutup." (HR At Tirmidzi)

Hadits Nabi saw di atas membuatkan kita mengerti mengapa setiap kali memasuki bulan Ramadhan umat Islam mengalami transformasi penampilan yang begitu penting.

Sedarkah kita bahwa ini semua hanya membuktikan betapa hebatnya Allah ta'ala mencurahkan rahmatNya bagi umat manusia yang beriman di bulan Ramadhan?

Maka seharusnya kita merenungi fakta ini dalam tafakkur kita. Maka adalah sayugianya kita memanfaatkan detik berharga ini untuk melaksanakan aktiviti terbaik yang Allah ta'ala perintahkan kita melakukannya. Sudah sepatutnya dalam suasana "banjir" rahmat dan keberkatan dari Allah ta'ala ini, kita umat Islam mengingati kembali firman-firman Allah ta'ala berikut:

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah ta'ala, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata, "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri (kaum muslimin)." (QS Fushilat : 33)

"Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Rabbmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (QS An Nahl : 125)

Pernahkah kita mencuba untuk menimbulkan rasa empati kepada orang-orang bukan muslim di bulan Ramadhan terutama orang-orang yang selama ini kita anggap tidak mempunyai masalah dengan kita ertinya, mereka tidak termasuk golongan "kafir harbi" (orang kafir yang memusuhi Islam). Tahukah kita bahwa bila tiba bulan Ramadhan, orang-orang seperti ini, hatinya cukup tersentuh menyaksikan umat Islam yang sedang mengalami transformasi penampilan yang bermakna.

Kenapa?

Ini adalah kerana di dalam diri merekapun ada aspek fitrah atau kemurnian jiwa yang ditanamkan oleh Allah ta'ala sedangkan fitrah manusia sentiasa cenderung kepada kebaikan.

Fitrah manusia adalah sesuatu yang mampu mengenalpasti mana perbuatan yang baik dan mana perbuatan yang buruk.

Maka ketika orang-orang bukan Muslim yang bukan musuh ini menyaksikan umat Islam tiba-tiba menjadi rajin beribadah, membaca kitab suci, memperbanyakkan sedekah dan menampilkan perpaduan sosialnya, niscaya di dalam diri mereka muncul perasaan terharu kalaupun tidak dapat dikatakan rasa cemburu. Mereka menjadi cemburu kerana sesungguhnya mereka juga ingin merasakan perkara yang serupa. Itulah sebabnya mengapa sebahagian mereka bahkan ada yang secara ikut-ikutan turut sama "berpuasa" bersama umat Islam.

Maka, dalam detik penuh rahmat dan berkat dari Allah ta'ala ini, mengapa kita tidak cuba memanfaatkannya serta terus menawarkan kepada mereka untuk semuanya masuk ke dalam rahmat Allah ta'ala di bulan yang baik ini?

Sampaikanlah kalimat yang biasa Nabi saw sampaikan:

"Aslim Taslam" ertinya "Masuk Islamlah engkau, niscaya engkau bakal selamat di dunia dan di akhirat"

Dengan kedatangan bulan yang penuh rahmat ini, marilah kita bersungguh-sungguh berperanan menjadi penyebar rahmat Allah ta'ala sebagaimana yang diisyaratkan di dalam Al-Qur'an:

"Dan tidaklah kami mengutus engkau (Muhammad saw) melainkan agar menjadi rahmat bagi semesta alam. " (QS Al-Anbiyaa : 107)

Inilah hakikat sebenarnya umat Islam menjadi rahmat bagi segenap alam semesta. Kita berusaha untuk berkongsi nikmat yang paling mahal yang dianugerahkan oleh Allah ta'ala, iaitu nikmat iman dan Islam.

Ini adalah kerana kita tidak ingin masuk syurga bersendirian. Kita ingin seramai mungkin manusia turut bersama menuju rahmat dan syurga Allah swt dan untuk meraih rahmat dan syurga Allah swt, tidak ada jalan lain selain dari jalan yang telah ditempuh oleh Nabi Muhammad saw iaitu dengan cara berda'wah kepada manusia dengan menampilkan akhlak yang terbaik sehinga rahmat ini dapat dirasakan dan dikecapi oleh seluruh umat manusia sehingga hari Qiamat.

Ya Allah, kami memahami betapa luasnya rahmat dan keampunanMu di bulan Ramadhan. Berilah kekuatan kepada kami untuk kami mampu menarik rahmat dan keampunanMu itu dengan amal-amal soleh kami serta doa-doa kami. Kami juga mengharapkan semoga amal-amal kami yang naik ke atas di terima olehMu manakala rahmat dan keampunanMu tercurah ke bawah dengan sebanyak-banyaknya menerusi jalur lebar yang tidak bertepi di bulan Ramadhan yang penuh berkat.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

hasil nukilan,

Wan Ahmad
wan_ahmad2007@yahoo.com

TITIAN berakhir, jambatan untuk DF & Usrah bermula

Alhamdulillah bertempat di Sek Men Sri Al Amin Bangi dari 27 hingga 29 ogos berlangsung program TITIAN. Aku rasa perlu dinukilkan tarikh & pengalaman ini agar ianya menjadi satu catatan dalam hidup. TITIAN kali ini, adalah kali ke-2 bertempat di SM Sri AlAmin Bangi.

Resolusi hanya 3, seputar DF(baca: dakwah fardiah), usrah & networking. Moto juga mudah "bukan sekadar teori.." memberi satu muhasabah bagi individu yang pernah melalui program seumpama ini. Dah buat DF?dah bawa usrah? Pastinya tak cukup dengan menyatakan oh pernah bawa dulu.

Moga pengorbanan kecil hadir secara sedar kali ini memberi satu calit /"highlight" kepada usaha DF, usrah&networking yang berterusan.

Tahniah jawatankuasa TITIAN 2010/1431H..
tahniah JK KARISMA NASIONAL 2010..
tahniah Pemuda IKRAM Hulu Langat & Kajang..
tahniah adik-adik KARISMA yang bersedia untuk menjayakan resolusi & memberi komitmen terhadapnya.

Ziarah Iftar Ramadhan 1431H

Alhamdulilah, hari ahad (29 ogos) dapat jemputan iftar dari pak ibrahim (baca: Dr Ibrahim Abu Bakar) di taman unversiti, jln cerdik.
Setelah sekian lama hanya berkomunikasi secara sms & e-mel, ketika bertemu dapat rasa kehangatan ukhuwah apabila berpelukan dgn akhi. Banyak kenangan terlintas semasa bersua muka sepanjang berada di rumah akhi, sehingga waktu pulang pun tak habis cerita dengan zaujah tentang pengalaman kami bersama terutamanya ketika masa belajar di uia kuantan akhir 2006 hingga 2007.

Iftar yang disertai keluarga akhi ridzuan & biras tercinta, akhi bad alhamdulillah tambah erat hubungan kami.

Jazakallah Khair pak ibrahim nasi ayam luar biasa, halwa@manisan arab & layan yang sangat menyentuh hati, moga dapat bersua lagi.

Friday, August 27, 2010

Khutbah Jumaat: YB Dr Shafie turun padang

Jumaat minggu ke-3 ramadhan (27 ogos), bersolat di Surau Al-Hidayah.
Alhamdulillah minggu ini berjaya juga tumpangkan Nizam dari simpang west country ke surau. Nizam pelajar IKBM, Inst Kemahiran Belia Mara sedang bercuti di rumah abang dia, mudah mesra walaupun baru kenal, tapi tak sempat hantar dia balik sekali lepas solat.
Masa khatib baca khutbah tak perasan lagi siapa penyampainya,dek kerna asyik dengan penyampaian yang sangat ilmiah dari segi hujah & rujukan berkaitan Nuzul Qur'an. Selepas doa selesai bila ditoleh ke belakang, alhamdulillah YB rupanya.

coretan dari blog YB Dr Shafie Abu Bakar

"Berikut dari sembahyang Jumaat di Surau Al-Hidayah. West Country yang khutbahnya berhubung dengan `Nuzulul Qur`an, maka selepas khutbah, jawatankuasa Kebajikan ADNS yang diketuai Haji Rushdi menyampaikan bantuan kepada faqir miskin. Turut hadir Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj, Saudara Mohd. Adram juga Ahli MPKj, Saudara Abdul Rahim JK Surau, jawatakuasa kebajikan, Pengerusi Surau, ahli-ahli JK kebajikan dan penerima-penerima bantuan. Seramai 25 orang menerima bantuan. ADNS juga menyampaikan cek bantuan kepada Masjid-Surau yang masih belum .
diambil oleh pihak Surau al-Hidayah sebelum ini."

Semasa di surau sempat bersua dengan jiran seseksyen, akhi Majid.

Wednesday, August 11, 2010

Tuesday, March 30, 2010

Friday, March 19, 2010

[Akhbar Islami] #2:Protes Syarikat Cola-cola di Nilai





Coca-Cola: Pelaburan tidak baik untuk komuniti, kesihatan awam
CAP
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merasa amat bimbang apabila mendapati Syarikat Coca-Cola akan mendirikan kilang pembotolan minumannya di Negeri Sembilan, Malaysia. Ketika majlis pecah tanah yang diadakan pada 16 Mac 2010 di Bandar Enstek, Nilai, wakil syarikat menyatakan bahawa Coca-Cola akan menguasai pasaran minuman tempatan yang akan mensasarkan lebih daripada 60% penduduk iaitu mereka yang berusia di bawah 30 tahun.
Minuman Coca-Cola itu sendiri sebenarnya tidak elok, ia tidak lebih daripada karbonat, pewarna, asid, perisa, air yang dimaniskan yang berbahaya kepada kesihatan. Syarikat Coca-Cola juga tidak dapat lari daripada kontroversi kerana didakwa mencabuli hak asasi manusia dan alam sekitar di beberapa buah negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa minuman ringan yang dipenuhi dengan gula seperti Coca-Cola mempunyai kesan negatif ke atas kesihatan. Malaysia merupakan negara ke-8 pengguna gula tertinggi di dunia dengan purata 26 sudu teh gula sehari diambil oleh setiap rakyat Malaysia.
Ujian oleh CAP mendapati minuman ringan di dalam tin mempunyai kandungan gula antara 4 – 8 sudu teh dan Coca-Cola mengandungi 7 sudu teh gula. Apabila Syarikat Coca-Cola merancang untuk mensasarkan belia Malaysia, kami bimbang akan implikasi kesihatan yang akan dibawa olehnya.
Gula bukanlah sebahagian daripada diet semula jadi kita, jadi walaupun satu tin minuman ringan diambil sehari, ia adalah tidak sihat dan tidak perlu sama sekali. Malah pada hakikatnya terdapat lebih daripada 60 penyakit yang telah dikaitkan dengan pengambilan gula dalam dokumen perubatan. Kerajaan Malaysia melalui kementeriannya menjalankan kempen untuk mengurangkan pengambilan gula. Adalah menjadi satu ironi untuk membenarkan pembinaan kilang Coca-Cola di Malaysia memandangkan ia jelas merendahkan usaha untuk mengurangkan pengambilan gula.
Kami amat bimbang bahawa lebih ramai orang yang akan dijangkiti dengan penyakit yang dikaitkan dengan gula dan obesiti dengan menjemput Syarikat Coca-Cola untuk membina kilang pembotolan di negara ini dan berdasarkan strategi pemasarannya. Adakah kerajaan melakukan penyelidikan yang sempurna sebelum meluluskan pelaburan ini, yang jelas diluluskan secara cepat sepertimana yang dilaporkan bahawa syarikat itu hanya mengambil masa empat bulan selepas perbincangan awal untuk menubuhkan kilang itu di sini.
Bagaimana dengan permintaan untuk air bagi kilang ini? Berapa banyakkah air yang akan digunakan oleh kilang ini dan dari mana sumber air ini akan diambil? Baru-baru ini terdapat laporan berhubung catuan air di Seremban akibat kemarau panjang dan kekurangan hujan di kawasan tadahan air. Kekurangan air ini akan kerap berlaku akibat kesan daripada perubahan iklim.
Selepas kilang Coca-Cola ini mula beroperasi, kami bimbang air yang amat diperlukan oleh orang ramai ini akan dialihkan kepada pihak industri. Perkara ini perlu diambil serius memandangkan Syarikat Coca-Cola mempunyai reputasi yang buruk dalam bentuk konflik dengan komuniti dalam perjuangan mereka untuk mendapatkan air. Jawapan kepada kekurangan air bukanlah dengan membina lebih banyak empangan kerana empangan boleh menyebabkan kesan negatif kepada alam sekitar.
Perjuangan untuk mempertahankan alam sekitar terhadap Coca-Cola di India seharusnya menjadi amaran kepada kita. Amalan Syarikat Coca-Cola di beberapa negeri di India telah mengakibatkan kesukaran kepada komuniti, ia termasuklah kekurangan air yang serius, pencemaran, masalah kesihatan, kelaparan dan kehilangan pendapatan daripada pertanian.
Rekod buruk Coca-Cola tidak terhad kepada India sahaja, ia juga berdepan dengan dakwaan pencabulan hak asasi manusia, pencabulan terhadap buruh dan pencabulan terhadap buruh kontrak di Colombia, Turki, Pakistan, China, Afrika Selatan, dan Guatemala.
Kami berpendapat pembinaan kilang Syarikat Coca-Cola ini akan menjejaskan komuniti, kesihatan awam dan alam sekitar. Sehubungan itu, CAP menuntut agar kerajaan Malaysia membatalkan rancangan untuk membina kilang Coca-Cola di negara ini.

SM Mohamed Idris,
Presiden CAP

[Akhbar Islami] #1:Protes Syarikat Cola-cola di Nilai



RABU, THE STAR
http://biz.thestar.com.my/news/story.asp?file=/2010/3/17/business/5875965&sec=business

Assalamualaikum wrt bth

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani


Kenyataan dan Pendirian Rasmi PACE: Pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca Cola di Malaysia.


PACE merakamkan rasa dukacita terhadap pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca-Cola di Malaysia. Syarikat Coca-cola akan mendirikan kilangnya di atas tanah yang dibeli daripada TH (Tabung Haji) Properties di Nilai, Negeri Sembilan dan upacara pecahtanahnya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak pada 15 Mac 2010.

Lebih meresahkan lagi perkembangan ini berlaku di saat-saat Masjid al-Aqsa dikepung dan pihak Zionis Israel terus mengancam keselamatan Masjid al-Aqsa dengan mengumumkan perasmian kuil Hover di persekitaran kejiranan Masjid. Tindakan regim Zionis ini jelas merupakan provokasi terancang sedang di masa yang sama rakyat Palestin di bawah umur 50 tahun dihalang dari memasuki masjid al-Aqsa yang berada beberapa ratus meter sahaja dari kuil tersebut.

Mungkin orang ramai akan bertanya apa hubungkait di antara pembukaan kilang Coca-cola di Malaysia dengan ketegangan yang berlaku di Baitul Maqdis timur dan di Masjid al-Aqsa. Dua perkembangan ini saling berkaitan kerana Syarikat Coca-cola telah dikenal pasti sebagai penyokong kuat kepada ekonomi Israel dan kewujudan entiti haram Yahudi Zionis yang merampas negara Palestin dan mengusir rakyatnya keluar. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak untuk menentukan dasar dan pendiriannya tanpa di pengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Namun Malaysia telah mempertahankan dasar luar yang konsisten terhadap penubuhan negara haram Israel sejak mencapai kemerdekaan iaitu tidak akan mengiktiraf entiti haram tersebut, meskipun Israel adalah negara anggota penuh PBB. Berdasarkan kepada hakikat ini, tindakan membenarkan Syarikat Coca-cola melabur dan membina kilang pembotolan produk minumannya di sini adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip yang dipertahankan sekian lama. Oleh kerana Syarikat Coca-cola menyokong ekonomi Israel secara terbuka maka mereka bersekongkol dengan regim Zionis yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Membenarkan kilang syarikat Coca-cola beroperasi di bumi Malaysia boleh memberi implikasi merestui regim Zionis yang bertindak sebagai negara penyangak yang tidak pernah akur kepada undang-undang antarabangsa dan menghormati hak asasi rakyat Palestin.

Sokongan Coca-cola kepada Israel bukanlah berdasarkan dakwaan semata-mata bahkan terdapat dokumentasi lengkap mengenai penglibatan Syarikat Coca-cola di dalam membangunkan ekonomi Israel sejak tahun 1966. Pada tahun 1997, misi ekonomi Kerajaan Israel telah memberi penghargaan kepada Syarikat Coca-cola dalam majlis Penganugerahan Perdagangan Israel atas sokongan berterusan syarikat itu terhadap Israel selama 30 tahun dengan mengabaikan seruan boikot Israel oleh Liga Arab. Pada tahun 2002 Syarikat Coca-cola membuka kilang di atas tanah rakyat Palestin yang dirampas di Kirvat (Qiryat) Gat dalam negara Palestin yang dijajah. Berita ini dilaporkan di dalam akhbar rasmi Israel Haaretz pada 19 Julai 2002. Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Ha'aretz pada 18 Oktober 2005, Coca-cola meningkatkan pelaburannya di Israel dengan menguasai 51% saham dalam Tavor Winery, sebuah syarikat pembuat arak di Israel. Ini hanyalah sebahagian dari rekod cemerlang Coca-cola di dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Zionis Israel.

Fakta-fakta ini adalah hakikat yang tidak mungkin disanggah tentang betapa eratnya hubungan yang terjalin di antara Syarikat Coca-cola dan entiti haram Israel.

PACE dengan ini mengambil pendirian berikut:

1. PACE memohon agar Kerajaan Malaysia mengkaji semula keputusan untuk membenarkan Syarikat Coca-cola melabur dan membuka kilang operasinya di Malaysia.

2. PACE juga memohon agar TH (Tabung Haji) properties tidak melabur atau terbabit dengan transaksi perniagaan yang meragukan kerana Tabung Haji terlibat secara langsung di dalam menjana pendapatan untuk urusan pengendalian jemaah Haji rakyat Malaysia. PACE mengajak semua pihak supaya prihatin dengan perkara ini kerana secara simboliknya ziarah, umrah dan ibadah haji ke tanah suci Makkatul Mukarramah tidak sewajarnya membawa kepada keruntuhan satu lagi tanah suci, masjid al-Aqsa al-Haram as-Syarif di Baitul Maqdis.

3. PACE menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama supaya menyahut seruan boikot barangan Israel yang kini sedang berkumandang di seantero dunia. PACE menyokong kempen BDS (Boikot, Divestment and Sanctions - Boikot, pengalihan pelaburan dan sekatan) ke atas Israel yang diterajui oleh VPM (Viva Palestina Malaysia - sebuah koalisi NGO yang menganjurkan kempen boikot ke atas empat produk utama yang menyokong Israel iaitu Coca-cola, McDonald, L'oreal dan Nestle). PACE menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengutamakan produk tempatan dan hanya membeli produk luar khususnya produk Amerika Syarikat apabila perlu sahaja dan sebagai pilihan yang terakhir.

4. PACE akan terus menyokong Kerajaan Malaysia yang secara konsisten mempertahankan dasar tidak mengiktiraf Israel dan sentiasa peka dengan penderitaan rakyat Palestin dengan membangkitkan hak mereka di pelbagai forum antarabangsa terutama di Persidangan Agung PBB dan OIC.

5. PACE berdoa dan mengharapkan negara Malaysia akan terus dilimpahi dengan rezeki yang melimpah ruah dan penuh keberkatan dari Allah SWT.

Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
(Pusat Kecemerlangan Palestin)

Monday, March 01, 2010

Tempat #1:Guest House di Shah Alam

Mencari guest house / rumah tumpangan di Shah Alam?
layari: RMZ Homestay & Services

Saturday, February 20, 2010

Coming Soon..


tempat: Sekitar Bangi. *akan dimaklumkan secepat mungkin
untuk mendaftar, sila hubungi nadhirah 0193852504

Monday, January 11, 2010

FINDING NEMO-JOM!!



PROGRAM FINDING NEMO!!!

APA YANG MENARIK? ^___~-belajar buat water rocket!! (yeah!!)
-sarapan disediakan untuk yang datang awal (nyum nyum)
-belajar satu lagi skill yang pasti membanggakan mak ayah ^_^ (surprise!!)
-asah bakat jadi komposer!! (waaaaah)
-test power tenaga muda remaja (wow!)


KHAS UNTUK REMAJA PUTERA 13-18 TAHUN
TEMPAT: PADANG & DEWAN SEK MEN SRI AL-AMIN BANGI
MASA: 8.00 PAGI HINGGA 12.30 TENGAHARI
PELABURAN: HANYA RM5 SAHAJA
gen-pearl.blogspot.com
jom daftarkan anak2 sebelum khamis pada fadhli 019 264 8637